'ADAT ATORAN BERKENAAN KEMATIAN
Apakala berlaku kematian pada sa-saorang orang Melayu, sama ada yang di-kampong atau di-pekan maka langkah yang mula sa-kali dilakukan oleh pehak rumah yang berkematian itu ia-lah memberi tahu kapada siak atau penjaga masjid kampong atau pekan itu supaya di-tuliskan di-atas papan pemberi tahu masjid itu bagi pengetahuan orang2 kampong, siapa yang mati dan bila dan di-mana di-kebumi atau di-kuborkan- (ghalib-nya di-tanah perkuboran mesjid itu-lah di-tanamkan jenazah itu). Kemudian di-beri tahu dengan mulut kapada kaum keluarga dan sahabat handai yang damping, kapada yang berhampiran, dengan surat atau talipon taligrap kapada yang berjauhan, bagaimana pun mustahak-lah juga di-beri tahu.
Jika waktu mati-nya itu sa-belah petang atau malam, maka biasa-nya waktu mengkebumikan mayat itu di-tetapkan sa-belah tengah hari atau sa-lewat2-nya sa-belah petang esok-nya, akan tetapi jika mati-nya pada lebeh kurang suboh hari atau sa-belah pagi maka ghalib-nya waktu mengkebumikan-nya ditetap-kan pada sa-belah petang itu juga, kerana adalah dituntut oleh ugama Islam supaya mayat itu di-kebumikan dengan sa-berapa chepat-(pada sisi Islam ada-lah lebeh afdhal di-kebumikan di-dalam tempoh enam jam daripada waktu habis nyawa-nya).
Mula2 mayat itu di-angkat daripada
tempat ia meninggal dunia (mati) dan di-letakkan di-atas sabuah gerai atau katil bertilam
dan beralas dengan kain chadar yang berseh dan elok dan di-letak katil atau gerai itu
di-tengah2 majlis rumah dan sa-belah atas gerai itu di-pasang langit2 daripada kain bagi
menahan atau menyekat sa-barang habok atau kekotoran jatoh ka-atas mayat itu dan di-tutup
mayat itu dari kepala litup hingga ka-hujong kaki-nya dengan sa-helai dua kain panjang,
dan kedua tangan mayat itu di-kiamkan ka-dada-nya, di-atas kain tutup mayat itu betul
di-tengah antara perut dengan dada-nya adalah di-'adatkan sa-buah kachip pinang diletak
melintang, guna-nya kachip itu, konon, ia-lah sa-bagai ikhtiar untok menegah mayat itu
daripada di-langkah oleh hantu atau shaitan! Di-hadapan gerai atau katil mayat itu
di-letakkan sa-buah tempat bara atau tempat perasap yang sentiasa berbara api dan di-bakar
di-dalam-nya sa-jenis serbok harum apabila di-bakar, yang di-namakan dalam bahasa Melayu
"setanggi", atau kalau tidak setanggi maka di-bakar-lah serbok kayu gaharu dan
bakaran ini di-adakan sa-terus-nya sa-lagi mayat itu ada di-dalam rumah bahkan ada yang
meneruskan bakaran tepak bara dengan gaharu atau setanggi itu tiap2 siang dan malam
sa-lama tiga hari.
Sementara alat2 kelengkapan mandi, kapan dan keranda
mayat itu di-siapkan, yang harus mengambil masa beberapa jam lama-nya, maka barang siapa
daripada kaum keluarga dan sahabat handai si-mati itu, yang hendak melihat-nya maka
boleh-lah ia masok melihat-nya dengan menyingkap kain tudong muka mayat itu bergilir2.
Mereka melakukan perbuatan ini dengan chara yang sa-habis chermat dan hormat.
Ada-lah di-'adatkan bahawa sa-masa mayat itu maseh berada di-dalam rumah hendak-lah ahli2 pelawat yang datang berkumpul kerana menziarah dirumah mayat itu dan juga jiran2 yang di-sakeliling rumah mayat itu jangan membuat hingar bangar dan berbual2 atas perkara2 dan dengan chakapan2 yang tidak senonoh. Ini adalah di-'adatkan oleh 'adat resam Melayu dan di-kehendaki oleh shari'at Islam sabagai tanda kehormatan yang sa-yogia di-beri kapada tiap2 mayat. Bagitu jugalah di-kehendaki di-tunjokkan kehormatan kapada mayat itu di-dalam masa dan di-sapanjang jalan mayat itu di-angkat dan di-iringkan ka-kubor-nya. Ada pun yang di-benarkan di-sapanjang masa dan di-sapanjang jalan membawa dan mengiringkan mayat itu ka-kubor nya ia-lah membacha perlahan2 "aI-fatihah" sa-bagai hadiah yang hidup kapada roh si-mati itu sahaja.
Apabila sampai tempoh-nya mayat itu pun diangkat dan di-bawa ka-tempat yang di-sediakan bagi di-mandikan oleh tukang mandi perempuan, jika mayat itu perempuan, atau oleh tukang mandi laki2, jika mayat itu laki2. Memandikan mayat itu adalah di-lakukan dengan tertib dan sa-habis berseh lagi chermat. Kemudian daripada selesai di-mandikan mayat itu maka tuboh badan-nya dilumor pula sarata2-nya dengan dua jenis serbok atau podar kapor barus dan chendana dan di-chelah2 pelipat dan lain2 tempat yang mustahak di-taroh keping2 kapas, kemudian baharu-lah di-angkat mayat itu di-bawa pula ka-tengah atau ka-serambi rumah itu bagi di-kapankan, ya'ani di-pakaikan kain dan seluar daripada kain puteh tiada berjahit dan kemudian di-pakaikan lagi sa-lapis sa-bagai bungkus atau sarong daripada kain puteh dan tiada berjahit juga. Kedua jenis pakaian yang di-pakaikan mayat itu-lah yang di-panggil atau di-namakan kapan mayat. Mayat itu di-bungkus dan di-ikat dengan beberapa ikatan dari kaki hingga kaleher, melainkan di-sabelah bahagian kepala-nya dibiarkan tiada di-ikat bagi sementara kerana pada masa itu ada-lah di-'adatkan di-panggil kaum keluarga Simati itu yang damping2 kerana menaborkan sa-jemput daripada serbok chendana, yang memang di-sediakan kerana-nya, di-sakeliling kepala mayat itu, sa-bagai isharat atau tanda 'amalan kebajikan yang akhir kepada yang mati itu. Sa-telah selesai daripada 'adat atoran menabor chendana itu maka baharulah kepala mayat itu di-bungkus dan di-ikat; kemudian di-masokkan-lah mayat itu ka-dalam sa-buah peti yang dipanggil atau di-namakan 'keranda' yang di-perbuat daripada kayu yang ringan. Di-sabelah bawah keranda itu sa-bagai lantai-nya di-regang tutup dengan sa-bidang kain puteh yang di-lekatkan pada sa-panjang tepi sa-keliling papan keranda itu dengan pin2 lekap. Sa-telah itu maka keranda itu pun di-angkat dan diletakkan di-atas usongan dan di-tutup keranda itu dengan beberapa lapis kain2 panjang yang elok2, dan kain lapisan atas sa-kali, biasa-nya, daripada kain yang bertekat atau bertulis dengan ayat2 Qur'an ul'Azim, kemudian baharu-lah di-pikul dan di-usong oleh orang2 ramai dengan bergilir2 dan berjalan perlahan2 di-bawa ka-masjid yang berhampiran dengan tanah perkuboran-nya bagi di-sembahyangkan, jika mayat itu tidak di-sembahyangkan di-rumah-nya, saperti yang banyak juga daripada orang2 Melayu kita melakukan-nya. Bila tiba di-masjid maka di-turunkan-lah keranda itu daripada usongan-nya lalu di-bawa masok ka-dalam masjid dan di-letakkan berhadapan dengan mihrab masjid itu dan kemudian tampil-lah sakalian haji2, lebai2 dan yang lain2 di-antara yang mengiringkan mayat itu menyembahyangkan mayat itu. Sa-habis sembahyang mayat, maka biasa-nya diedarkan sedekah atas kadar kapada mereka yang menyembahyangkan mayat itu.
Kemudian daripada telah selesai di-sembahyangkan maka keranda mayat itu pun di-pikul oleh beberapa orang, di-bawa ka-kubor yang telah sedia digali dan mayat dengan keranda-nya itu pun di-masokkan ka-dalam kubor itu. Sa-belum di-timbus kubor itu, maka biasa-nya, siak masjid atau sa-siapa yang lain, turun ka-dalam kubor membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta di-bukanya ikat2 kapan-nya dan di-sendal-nya mayat itu dengan kepal2 tanah yang kebanyakan-nya di-kepal oleh keluarga si-mati itu, dan sa-telah di-bangkan di-telinga mayat itu oleh siak maka baharu-lah di-tutup keranda dan kubor itu di-timbus dengan tanah-nya.
Sa-telah selesai kubor itu di-timbus maka di-chachakkan sa-batang ranting pohon sa-bagai tanda untok menyachakkan batu nesan-nya kemudian kelak- (ada juga yang sudah sedia membawa dua batang batu nesan bagi di-chachakkan di-masa itu juga). Bila siap sahaja kubor itu maka tampil-lah sa-orang haji, imam atau orang 'alim di-tepi kubor itu di-mana telah di-bentang sa-bidang tikar sila atau tikar kechil yang terkadang2 bersarong dengan kain sutera, atau baldu atau kain benang, mengikut kemampuan tetangga yang berdukachita itu, dan di-tepi kubor itu ada pula sa-talam bunga rampai atau berbagai2 bunga changa dan sa-biji dua balang atau geletar ayer chendana. Di-atas tikar sila itulah dudok tuan haji, lebai atau tuan 'alim kerana membacha talkin bagi si-mati itu dan bertahlil serta membacha do'a. Ada juga dahulu di-'adatkan ia-itu orang yang membacha talkin itu di-payongkan sa-masa dia membacha-nya, walau pun hari tidak hujan atau chahaya matahari pun tidak memanchar ka-atas-nya.
Sa-telah selesai talkin dan tahlil di-bacha dan do'a di-aminkan oleh sakalian pengiring2 mayat yang maseh di-tempat perkuboran itu maka ayer kedua2 balang itu pun di-siramkan kaatas kubor itu dari kepala sampai ka-pehak kaki-nya sa-hingga habis dan kemudian bunga yang di-dalam talam itu pun di taborkan di-sarata atas kubor itu. Dengan yang demikian selesai-1ah 'adat mengkebumikan mayat itu dan sakalian yang hadhir di-tempat perkuboran itu pun bersurai-lah balek sate'ah bertemu dan bersalaman dengan bapa atau Warith si-mati itu. Akan to' 'alim, to' imam atau to' lebai, pembacha talkin itu sa-lain daripada di-beri bayaran wang sa-banyak lebeh kurang dari dua sampai lima ringgit, ada-lah juga dihadiahkan tikar sila tempat dia dudok membacha talkin itu dan balang ayer yang telah di-kosongkan itu dan juga satengah pada sa-tengah-nya menghadiahkan juga kapada-nya payong yang memayongkan dia waktu dia membacha talkin tadi.
Dari zaman-berzaman hingga ka-masa
sekarang ini telah di-jadikan 'adat resam Melayu mengadakan kenduri arwah, konon, pada
hari2 ketiga, ketujoh, keempat belas, keempat puloh dan kesaratus kemudian daripada hari
mati itu dan tiap2 tahun pula ada yang mengadakan kenduri haul arwah konon.
Demikian-lah lebeh kurang dan dengan sa-chara ringkas
yang dapat kita tuliskan atas kadar pengetahuan yang ada pada kita di-dalam perkara2 'adat
resam orang2 Melayu kita yang di-jalankan di-dalam Riau Lingga dahulu dan di-dalam
Semenanjong Tanah Melayu sekarang dengan sa-banyak sadikit dan tokok tambah di-dalam
menjalankan-nya pada masing2 negeri, mengikut kehendak pergaulan negerinya-Allahu-A'aIam
bissawab.
*[BERSALIN] | [BERTINDEK] | [BERSUNAT] | [NIKAH KAHWIN] | [BERKELUARGA] | [BERMASYARAKAT] | [KEMATIAN]*