ADAT RESAM MELAYU BERUMAH-TANGGA


Sebagaimana keadaan sisi lain-lain bangsa yang berugama Islam maka begitulah juga pada sisi umat Melayu, sekadarkan adat resam berumah-tangga bangsa kita Melayu dahulu adalah lebih lembut dan santun lagi keadaannya. Ibubapa dalam se-sebuah rumah itu kedua-duanya adalah pemerintah didalam rumah-tangga itu seperti raja dan permaisurinya yang mesti di taati dan di hormati oleh sekalian yang ada dalam rumah-tangga itu, sama juga bagaimana yang dikehendaki pada hamba rakyat sebuah negeri itu supaya taat dan hormatkan raja mereka.

Anak baik-baik, laki-laki dan perempuan adalah diadatkan bukan sahaja mesti taat setia kepada kedua ibubapa mereka, bahkan adalah dikehendaki supaya mereka sentiasa menunjukkan dengan amalan yang nyata akan kehormatan mereka kepada ibubapa mereka umpamanya, apabila mereka dipanggil atau berada dihadapan mereka. Misalnya : apakala seorang anak laki-laki itu dipanggil oleh ibubapanya, maka hendaklah sebelum ia datang mendapatkan ayah atau ibunya itu ia memakai songkoknya, dan kalau dia tengah menghisap rokok hendaklah ditinggal atau dipadamkan-nya rokoknya dan ditinggalkan, sesudah itu barulah dia datang mengadap ayah atau ibunya itu - walaupun dia sudah besar panjang atau sudah beranak-bini sekalipun - dan dikehendaki oleh adat resam Melayu yang asli supaya ia mengadap ibubapanya itu dengan menunjukkan sepenuh kehormatan seorang anak kepada ibubapanya.

Kalau seorang anak mengadap ibubapanya itu sambil duduk atas kerusi, umpamanya, hendaklah dia duduk secara hormat, tidak dengan terkangkang atau bersengkeling kaki diatas kaki ; atau kalau mengadap sambil duduk ditikar atau dilantai hendaklah dengan bersila. Begitu juga, bahkan lebih-lebih lagi dikehendaki disisi pihak anak-anak perempuan supaya menunjukkan - hormat dengan tingkah laku yang lebih tertib dan lemah lembut sesuai dengan jenisnya. Jika sa-orang anak perempuan itu mengadap ayah atau ibunya sambil duduk di kerusi maka hendaklah dalam keadaan duduknya itu chukup tertib dan rapat kedua peha dan kakinya, tidak dengan terkangkang atau kaki diatas kaki keadaannya, dan kalau duduk diatas tikar atau lantai hendaklah duduk bertimpoh, tidak bersila atau berdiri lutut. Demikian itulah sa-terusnya dikehandaki tertib hormat itu di tunjukkan di-dalam pergaulan rumah-tangga diantara yang muda dengan yang lebeh tua daripada ahli-ahlinya. 'Adat resam hormat-menghormati dalam rumah-tangga ini adalah berasal dari zaman-berzaman dan perkara ini dikehandaki oleh sa'umum bangsa2 dimuka bumi ini supaya diamalkan, dan bagi bangsa Melayu kalau pun tidak terlalu kuat berpegang dengannya dahulu, tidaklah sa-kali2 kurang berkehendakan 'amalan yang berguna itu dijalankan.

Adalah di'adatkan iaitu apabila se-sebuah rumah-tangga itu dapat tahu akan adanya berlaku di-dalam antara rumah2-tangga jiran2-nya salah suatu daripada hal2 yang tersebut dibawah ini :

(1) ada orang baharu datang berpindah ke-rumah itu,
(2) ada orang sakit atau kemalangan di-dalamnya, dan
(3) ada berlaku kematian di-dalamnya,

maka hendaklah sa-kurang2-nya ibubapa atau ketua rumah itu segera pergi menziarahi jiran2-nya itu dan kalau kesusahan itu patut di bantu, istimewa ada baginya kemampuan atau upaya membantu atas kadar yang dapat di-dalam kesusahan jiran-nya itu maka sa-yogia-lah dibantunya dengan jalan apapun.

Adalah dikehendaki oleh adat resam Melayu supaya diantara jiran sesama jiran yang berhampiran sentiasa di-dalam keadaan berbaik2 dan saling-mengerti diantara satu sama lain dan bersunggoh2 menegah diri daripada berbuat apa2 yang boleh menyebab atau membangkitkan persenggitan atau pergadohan, saperti tutor kata atau perbuatan yang tidak elok, umpama : umpat-mengumpat, atau sa-barang pencherobohan atau perbuatan kurang adab.
Adalah dikehendaki oleh adat resam Melayu bagi seorang pelawat atau sa-siapa pun tatkala datang hendak menziarahi ka-rumah sa-orang Melayu supaya keadaan-nya berpakaian dengan sa-lengkapnya, termasok bersongkok di kepala-nya, jika ia orang Melayu, dan jika ia berkasut, selipar atau bersepatu maka hendaklah ia membuka dan menanggalkan sepatu, selipar atau kasut-nya itu di tangga atau pintu masok ka-dalam rumah itu sa-belum dia masok.
Adalah dikehendaki oleh adat resam Melayu ia-itu bila sahaja sa-orang dhaif, biar siapapun, datang melawat atau menziarahi ka-rumah orang Melayu pada bila2 waktu sa-kalipun, kechuali sudah lanjut malam, maka adalah ter'adat kepada 'adat resam Melayu pelawat itu di-beri sa-kurang2-nya sa-changkir atau chawan kopi atau teh atau minuman sejok atau sireh sa-kapor sa-bagai tanda kera'ian kepada atau menghormatkan tetamu atau dhaif.

 


[BERSALIN] [BERTINDEK] [BERSUNAT] [NIKAH KAHWIN] [BERKELUARGA] [BERMASYARAKAT] [KEMATIAN]